Petikan Salafi

"Demi Allah, kita berperang bukan berdasarkan bilangan, kekuatan atau Jumlah, kita berperang untuk memuliakan Agama yang telah dimuliakan Allah ini" Abdullah Ibn Rawahah r.a.


"Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini." Dr. Asri

"Demi Allah! Aku tolak Syiah; bukan dengan tangan tetapi dengan kaki" Harimau Menaip.



Mutiara Kata

Dari Ibnu Umar ra berkata: Rasulullah saw memegang pundakku dan bersabda, “Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau penyeberang jalan.” Ibnu Umar ra berkata, “Jika kamu berada di petang hari, jangan menunggu pagi hari, dan jika engkau di pagi hari janganlah menunggu petang, manfaatkanlah masa sihat. Sebelum datang masa sakitmu dan saat hidupmu sebelum datang kematianmu.” (HR. Bukhari)

“Sesungguhnya bermula datangnya Islam dianggap ghurabaa(dagang/asing) dan akan datang kembali ghurabaa(dagang/asing) maka berbahagialah orang-orang asing itu. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah Saw, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksud orang asing itu?” Lalu Rasulullah menjawab, “Orang yang melakukan kebaikan-kebaikan di saat orang-orang melakukan kerosakan.” (HR. Muslim)

Dan dalam riwayat lain, "Sesungguhnya baginda ditanya perihal orang-orang yang asing itu, lalu baginda menjawab, "Iaitu orang-orang yang menghidupkan-hidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku" (HR Muslim, Ibnu Majah, dan at-Thabrani)

Dalam riwayat lain dari Ibnu Wahbin, "Baginda saw. bersabda, "Kebahagiaanlah bagi orang-orang yang asing, iaitu mereka yang berpegang teguh pada kitab Allah ketika ditinggalkan oleh orang banyak dan mengerjakan sunnah ketika dipadamkan oleh orang banyak"

Pemuda-Pemudi Harimau

29.5.10

Ulama UMNO Bakar Kapal (Dr. Asri Bakar Harussani?)

* disalin dari Minda Tajdid untuk renungan. Tulisan hebat garapan Dr. Asri.

Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini. Artikel ini akan menyebut istilah ulama UMNO atau ulama pro-UMNO. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.

Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.


Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang ‘ala ulama Umno’ hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.

Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.

Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran ‘kurang luas’ golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.

Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang ‘oksigen keluasan ijtihad’ atau hanya gas perkauman dan fahaman ’sempit’ agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Dimanakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?
Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.

Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.

Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai ‘ala-ala Taliban’?

Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.

Peguam bukan Islam

Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.

Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.
Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.

Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?

Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?

Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!

Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?

Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina ‘Ali dalam pertikaian baju besi.

Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.

Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.

Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.

Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.

Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.

Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!

Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan ’sijil awak tidak laku’.

Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?

Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.

Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.

Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.

Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.

Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah

Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk ‘ala Umno‘ yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.

Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.
Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.

Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.

Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari ‘mufti’ yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid

Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.

Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.
Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar’iyyah (islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.

Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!

Isu Sebat

Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.

Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.
Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.

Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.

Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.

Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.

Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!

Perarakan Maulid

Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya ‘Melayu dan Mamak Penang’ boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.

Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis di Mingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.

Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!

Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?

Barah

Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.
Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.

1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.

Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.
PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang ‘narrow-minded’ dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.

Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.

Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia!

6 comments:

Anonymous said...

Salam Saudara,
Terimakasih kerana memaparkan artikel diatas dan begitu juga kpd Dr Asri (ulasan beliau). Pandangan ttg masaalah agama yg berlaku pd hari ini saya rasa amat kritikal ataupun mengundang salam faham sekiranya tidak diberi ulasan yg betul. Saya berdoa semoga diberi kekuatan kpd pejuang2 agama dan keadilan untuk menempuh segala dugaan yg dihadapi utk menyebarkan syiar Islam sbg satu cara hidup di muka bumi yg bertuah ini.
Wassalam.

Anonymous said...

bernas dan tepat sekali pandangan tuan..sebab tu orang melayu dan bukan melayu jadi sedar setelah 50 tahun lebih tertipu

melayuangkat said...

Salam anakku Harimau cyber,

Ha ha jangan marah..How is your long holiday?

Pada Mak Cik, dengan PAS membuka keahlian kepada non Muslim tidak langsung bererti apa-apa..kawan Cina Mak Cik kata uncle dia join PAS kerana nak Business dari PAS!!

WALAU APA pun..UMNO telah banyak berjasa pada kita, Agama dan Negara. UMNO tidak perfect...masih banyak yang boleh diperbetulkan jika perlu dibetulkan..dalam kelemahan UMNO jangan lupa kerana UMNO jugalah telah lahir begitu ramai graduan Agama dari University terkenal di seluruh dunia yang sekarang MA dan Phd ditangan masing masing.

Harapan kita agar semua nasihat dan pandangan dapat diterima oleh UMNO jika ia membawa kebaikan untuk Agama suci kita.

WaAllahuAlam.

Hanz_Azdi said...

Sebenarnya pada sapa-2 yg suka kebenaran artikel begitu amatlah menyenangkan hati/jiwa... kalau sapa-2 (esp. ahlul parti mana-2) mungkin senang hati atau sebaliknya ada yg terasa susah nak terima 'kebenaran'...Disaran baca entri ini dulu (below)..it's more neutral more easy to digest.

http://drmaza.com/home/?p=1145

lord ried said...

FAZAKKIR TANFAULMUKMININ......
UNTUK BEWAK2 PIKIAQ...........

Aku tinggalkan kamu 2 perkara. Kamu tak akan sesat buat selama2nya
jika kamu berpegang kepadanya, iaitu KITABULLAH DAN SUNNAH RASULNYA. - MAKSUD HADIS.

JEPUN WAT KETA TOYOTA KA, NISSAN KA, MAZDA KA.....MALAYSIA PUN WAT JUGA MACAM JUWARA KA, RUSA KA, TIARA KA. SUMA PRODUK TU KILANG WAT KELUAQ BERSAMA2 NGAN KATALOG @ CAGHA OPERASI KENDERAAN2 TUH.

ADIK2 BEWAK... KALU BELI KETA TU
KENA LA TURUT PANDUAN( MENUAL ) YANG DIBEKALKAN OLEH KILANG. KALU DALAM MANUAL SUH ADIK2 BEWAK SUMA BUH MINYAK PETROL, JANGAN PULAK ADIK2 BEWAK BUH MINYAK DIESEL. KALU
MANUAL SUH BATERI 60 WATT, JANGAN ADIK2 BEWAK BUH BATERI 60 KILOWATT.
KALU ADIK WAT JUGA MENDE2 YANG MANUAL TAK SUGHUH, MAKNANYA ADIK2 BEWAK PENGAGHAI HUDUH ATAU SAJA CAGHI PENYAKIT. LAGU TU LA ANALOGI
AJARAN SESAT ATAU BUTA TEKNOLOGI.

" APABILA AKU KASIH, AKU JADIKAN MANUSIA" - MAKSUD AYAT. ALLAH JADIKAN MAKNUSIA JUGA DIA BEKALKAN MENUAL. MENUAL UNTUK MAKNUSIA IALAH KURAN DAN HADIS. KALU BEWAK2 SUMA IKUT MENUAL ALLAH TU GRENTI TAK PUNAH....SESAT JOH SEKALI.

AWAT PUAK BEWAK PILIH SEKERAT MENUAL ALLAH, SEKERAT MENUAL LORD RIED. GRENTI PUNAH LAGU JENIH ENJIN PETROL PI BUH DIESEL.....
KALU KATA BEWAK PASIK KA, KAPIAQ KA, ADA PEGHOT PEDAI PULAK NAK MAGHAH.

he he he
gurau ngan puak2 bewak sambil nasihat

Anonymous said...

Setuju dengan Hanz_Azdi.

Tersentuh perasaan dengan ulasan Salamah bin Dinar rahmatulahu alaih yang dibawa oleh Dr. MAZA.

"Seorang tabi’in yang terkenal dengan soleh dan warak Salamah bin Dinar pernah berkata di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik:
Telah berlaku di mana para umarak (pemerintah) mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umarak menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita ini lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka.
(Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29)."

Ada dua perkara yang penting bila buat sesuatu. Niat yang betul ikhlas dan Cara yang sebijik macam atau paling hampir dengan generasi para Sahabat.

"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (dilihat pelik). Dan ia akan kembali (di akhir zaman) dalam keadaan dagang (dilihat pelik) juga. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (dilihat pelik kerana kebenarannya)". - Hadith direkodkan oleh Imam Muslim.