Kita hanyalah bilangan hari. Apabila
sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi.
Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup
hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa
dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya
ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar
kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari
perginya.
Apabila saya menerima berita kematian YB Dr
Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan
sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling
sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya
menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya
menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan
itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.
Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak
dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya
sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat
memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar
berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’
Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.
Saya ingin mencoret sedikit mengenai
beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa
yang Nabi s.a.w nasihati kita:
“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji
saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah
jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa
atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang
zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi
Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga
sebaliknya.
Peringatan Jawatan Mufti
Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan
sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak
sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa
majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya
berforum.
Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’
menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut.
Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya
masih simpan peringatan itu.
Antara yang beliau sebut
“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin
berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan
berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang
tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya
bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak
dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam
tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang
kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang
tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan
YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk
seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri
dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.
Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas
terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung
kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya
dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya,
sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah
pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan
soleh beliau.
Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau.
Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau
rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.
Selepas Mufti
Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya
terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak
beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik
Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di
Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya
mengingat sikap baik ibunya kepada saya.
Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan
JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’
Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat
saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:
“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz
memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang
ada”.
Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang
sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan
sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga
kami bertanya khabar.
Masuk UMNO
Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama.
Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang
saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul
berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas.
Kata beliau:
“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan
berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar
Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu.
Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.
Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi
dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap
langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin
kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:
“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi
jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini?
Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO?
Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.
Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus
bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau
khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS
lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan
memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr
Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:
“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk
UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang
berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika
Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini.
Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.
Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu.
Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau
yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah.
Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan
keyakinannya.
Kritik PR
Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr
Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya.
Kadang-kala bahasanya
‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila
membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya
sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang
yang prihatin.
Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan
pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon
agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘
Ulama atau professional Jadi Pemimpin’
. Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya
semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional
dalam kepimpinan PAS.
Ziarah Hospital
Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam
keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk
menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian
mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang
masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam
kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak.
Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis
ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:
“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.
Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang
menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih
murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani
yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat-
demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan
Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada
Allah.
Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan
pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan
sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya
tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya,
puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.
Ustaz Sampul
Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan
sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat
itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;
“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik
fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah
dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil
tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat
luar sana”.
Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau
‘pendakwah’.
Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar
kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau
ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai
yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’
Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang
daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.
Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan
pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap
hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang
muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan
keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi
ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan
keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke
destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.