Mungkin ramai yang menganggap Harimau terlalu UMNO untuk berbicara hak dan keistimewaan bangsa Melayu walhal Harimau cuma dambakan jaminan sambil bersuara atas tiket manusia beragama Islam berbangsa Melayu di bumi Malaysia. Dalam soal ini, sila letak tepi perihal siapa UMNO, siapa PAS atau siapa PKR. Janganlah asal sebut Melayu, ini agenda UMNO. Merdekakan minda kalian.
Kenapa kita sering mencampur-adukkan politik dalam semua hal?
Jika kita menonton siaran RTM lewat malam tadi (saya lupa tajuk nya) yang menjemput 3 panel; seorang Pensyarah banggali, seorang Professor berbangsa Tionghua dan seorang tak tahu apa bangsanya, tentu kita sedar apabila Profesor berbangsa Tionghua itu mendabik dada bahawa Cina zaman moden berani dan sudah mencari rezeki di Taiwan dan China dan ramai yang berjaya membawa balik kekayaan dan kesenangan. Malah, tambah beliau jika beliau ada kesukaran, hanya satu panggilan sudah memadai untuk menyambungkan beliau dengan puluhan ribu warga Malaysia berbangsa Cina di sana. "Untuk apa merebut potongan pai yang telah ditentukan hak?" katanya.
Itu kebanggaan beliau perihal bangsanya.
Kita bercerita pula hal bangsa kita.Bayangkan anda yang berkulit sawo-matang dan berbangsa Melayu, terdapatkah lagi negara yang didominasi Melayu yang boleh kalian bergantung harap?
Jika kalian kata "Ya" kerana mengambil kira Brunei atau Indonesia, kalian memang hebat. Tetapi, berapa kerat pula yang sehebat kalian?
Kita tidak perlu zalim dan kejam kepada bangsa lain hanya untuk menyuap anak bangsa sendiri, kita tidak perlu punah untuk sedar, tidak perlu jahanam untuk nampak. Cukup sekadar kita tanya diri, adakah aku akan dilayan sebegini rupa jika aku disamaratakan? Kalau tidak pun, sebaik yang diterima bangsa bukan bumiputera ketika ini?
Bukan Harimau tidak mahu atau bacul untuk bersaing, malah sudah pun bersaing; cuma kita berfikir tentang jaminan. Soalan asal yang Harimau ajukan, apakah jaminannya?
Ingat! Kita memang SATU Bangsa Malaysia namun ia tidak begitu di atas kad Pengenalan kalian.
Terlanjur berbicara, suka Harimau menjawab seperenggan komentar:
apa salah bangsa lain yg jadi warga negara d negara ini. ko mungkin x mengerti tp cukuplah ko mengandaikan ko lahir sebagai bangsa non malay d negara ni. salahkah mereka? salah kah mereka dilahirkan sebagai non malay dan krn itu harus dinafikan hak2 sebagai bangsa bukan melayu ? { sini }
Tuan,
Harimau tidak berbicara hal bangsa lain apatahlagi mahu hak mereka dinafikan. Kita mungkin bersedia untuk bersaing sama paras dan sama getir dengan sahabat kita bukan-bumiputera, cuma anak bangsa kita yang masih keciciran perlu juga kita fikirkan. Sebab itu hal-hal jaminan,
undertaking letter, formula kepimpinan dan pengagihan kekayaan yang Harimau bangkitkan. Kamu mungkin peguam atau Doktor atau seorang professional yang hebat, tetapi bagaimana pula dengan adik-adik kita yang gagal SPM, PMR, buta huruf dan miskin tegar? Jika nasib kalian TELAH diperjuangkan pemimpin-pemimpin lalu (kalau tidak pun pemimpin mutakhir), mengapa kita mahu lalai dalam memperjuangkan nasib anak bangsa kita yang terkemudian?
Benar, kita perlu berhijrah dan berubah. Untuk apa berhijrah ke arah yang tidak pasti? Ke arah yang risikonya adalah kehancuran?
Melayu sememangnya bermentaliti tongkat. Namun tongkat yang ada pada kamu mungkin besar ertinya pada mereka yang buta. Ia tidak perlu dibuang tetapi perlu disimpan.
Akhir qalam, kita boleh bersaing tanpa meminda apa-apa yang telah termaktub. Kita mungkin tidak perlu semua itu tapi manalah tahu ia amat penting bagi anak bangsa kita yang terkemudian.
"Cabaran orang dahulu adalah penentangan bangsa asing manakala cabaran orang sekarang adalah penentangan anak bangsa sendiri" Harimau Menaip, 2009.